Wan Salim.

GEORGE TOWN –  Pegawai atau pekerja yang bekerja sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ atau sambil lewa dikira sebagai mengkhianati amanah, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Jelas beliau, ini kerana pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta menerima gaji atau upah sebagai ganjaran terhadap kerja atau tugas yang dilakukan.

“Agama Islam menghendaki umatnya bersungguh-sungguh serta tekun dalam melakukan tugas atau pekerjaan.

“Dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Siti Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang kamu ketika melakukan suatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun.

“Mereka juga tidak termasuk dalam golongan beriman yang beruntung sebagaimana firman Allah SWT bermaksud ‘Dan mereka yang memelihara amanah dan janji mereka’ (surah al-Mukminun ayat lapan),”  katanya dalam kenyataan media.

Tambah beliau, realiti menunjukkan kecuaian dalam melaksanakan tugas atau pekerjaan menyebabkan kemunduran negara dan bangsa dalam mengejar kemajuan.

“Susulan itu kerajaan sentiasa menggalakkan seluruh warga kerja sama ada di sektor awam atau swasta supaya bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

“Semoga dengan demikian Malaysia akan tergolong sebagai sebuah negara termaju di dunia serta dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan perkenalkan kaedah kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan prestasi kerja individu tersebut.

Kata beliau, kaedah itu bagi memastikan kenaikan gaji secara automatik diperoleh oleh mereka yang bertungkus lumus dalam menjalankan tugas.

“Sekarang ini umpamanya ia (kenaikan gaji) ikut tahun.. Kadang-kadang orang (penjawat awam) itu lembab, tidak hadir kerja serta ada masalah disiplin terus dinaikan gaji secara automatik,” katanya. – MalaysiaGazette