GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perak akan membekalkan air terawat kepada Pulau Pinang adalah satu berita air terbaik untuk Pulau Pinang dalam tempoh lima dekad ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, K. Pathmanathan berkata, ini susulan projek bekalan air utama terakhir dilaksanakan Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang ialah Skim Air Sungai Muda yang dibuka Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pada 1973.
Jelas beliau, sepanjang 51 tahun lalu, Pulau Pinang hanya bergantung kepada Sungai Muda sebagai satu-satunya sumber air mentahnya.
“Sudah tiba masanya Pulau Pinang perlu segera meneroka sumber air utama yang kedua untuk memenuhi keperluan air serta memacu kemajuan sosioekonomi menjelang 2030.
“Selain itu, membeli air sungai yang dirawat secara konvensional dari Sungai Perak akan membabitkan perbelanjaan lebih rendah daripada menjalankan projek untuk menyahgaram air laut atau mengitar semula air sisa di Pulau Pinang.
“Pembelian air dari Perak juga membolehkan PBAPP mengenakan caj kadar air yang berpatutan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka memberi beberapa manfaat kepada Pulau Pinang antaranya bekalan air mencukupi untuk pengguna negeri ini selepas 2030.
Katanya, projek air itu juga akan memanfaatkan kepada pengguna di kawasan Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan bahagian pulau malah, berkemungkinan PBAPP tidak perlu mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Seberang Perai Selatan (SPS).
“Manfaat lain ialah peningkatan kapasiti bekalan air untuk menyokong kemajuan sosioekonomi seterusnya. Untuk terus maju dalam tempoh 20 tahun akan datang, Pulau Pinang perlu memanfaatkan sumber air utama yang kedua seperti Projek Air Perak-Pulau Pinang ini.
“Tahun lalu penggunaan air di SPS dianggarkan sebanyak 182 juta liter sehari (JLH)dan permintaan air di daerah ini diunjurkan mencecah 285 JLH menjelang 2030.
“Sehubungan itu, jumlah air terawat yang lebih tinggi daripada LRA Sungai Dua kemudiannya boleh disalurkan semula kepada kira-kira 491,153 pengguna air di SPU, SPT, Barat Daya (BD) dan Timur Laut (TL),” jelas beliau.
Media pada Ahad lalu melaporkan, Pulau Pinang bakal menerima bekalan air melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan pembekalan air itu dibuat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Jelas beliau, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap. – MalaysiaGazette