KUALA LUMPUR – Siasatan ke atas Bloomberg bukan arahan kerajaan sebaliknya hasil laporan polis yang dibuat oleh firma peguam syarikat yang dikaitkan dalam portal berita itu.
Menurut Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu dibuat mengikut proses undang-undang sedia ada selepas laporan polis dibuat oleh pihak Berjaya Corp Bhd (Berjaya).
“Berdasarkan laporan media yang saya teliti, laporan polis yang dibuat mengenai isu ini ialah daripada pihak Berjaya melalui firma guaman, jadi bukan laporan dari pihak kerajaan, bukan dari kementerian dan bukan dari MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“Bukan laporan daripada pihak kerajaan tapi swasta yang disebut dalam laporan itu,’’ katanya pada sidang media mingguan mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.
Pada 25 April lalu, Bloomberg melaporkan Malaysia sedang membincangkan cadangan membuka kasino di Forest City, Johor, melibatkan projek bernilai AS$100 bilion.
Laporan itu mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan pengasas Berjaya, Vincent Tan, dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting untuk membincangkan perkara itu.
Bagaimanapun Anwar dan Berjaya menafikan laporan berkenaan.
Wartawan Bloomberg, Ram Anand yang dipanggil ke Bukit Aman hari ini berhubung artikel perancangan pembinaan kasino di Forest City, Johor, selesai dirakam keterangan.
Ram dilihat keluar bersama peguam selepas selesai dirakam keterangan berhubung isu itu kira-kira 11 pagi tadi namun enggan ditemubual. - MalaysiaGazette