KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak hari ini menahan seorang peguam bagi membantu siasatan menerima sogokan berupa wang berjumlah RM1.6 juta.
Difahamkan suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan dibuat di sebuah restoran di Jalan Kuala Kangsar, Perak sekitar 11 pagi hari ini.
Sumber memberitahu, lelaki itu ditahan sebaik menerima wang tunai RM100,000 dan dua keping cek bernilai RM1.5 juta daripada seorang usahawan.
Sogokan tersebut dipercayai bagi membantu menutup kes penipuan pelaburan membabitkannya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan permohonan reman,”ujarnya. -MalaysiaGazette