ALOR GAJAH – Tindakan seorang kanak-kanak lelaki menonton video lucah menggunakan telefon bimbitnya ibunya membongkar kejadian dia menjadi mangsa liwat suami pengasuhnya sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, perbuatan kanak-kanak berusia 11 tahun itu disedari wanita berkenaan ketika berada di rumahnya di Rumah Awam Paya Datuk di sini pada pukul 8 malam, Isnin lalu.
Menurutnya, operator kilang itu kemudian bertanya dari mana anaknya belajar melihat video lucah tersebut sebelum diberitahu diajar oleh suami pengasuhnya berusia 36 tahun yang tidak bekerja.
“Siasatan mendapati, kanak-kanak itu mendakwa suspek telah beberapa kali meliwatnya sejak 2022 sehingga kini mengajar dia melihat video lucah.
“Perbuatan itu dilakukan semasa ketiadaan isterinya di rumah selepas pengadu yang juga ibu tunggal dua anak menghantar anak sulungnya itu dari pukul 3 petang sehingga 6 petang setiap hari selepas waktu sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati berlaku ‘normal penis and no fissure’ sebelum suspek datang menyerah diri kira-kira 3.30 petang semalam.
“Kita telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman suspek selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017),” katanya. – MalaysiaGazette.