Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hujah yang mengatakan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menurun disebabkan media sosial yang terkait dengan 3R (agama, bangsa, raja) disifatkan sebagai tidak logik.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, berdasarkan laporan terkini, Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam indeks berkenaan yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-73 tahun lepas.

Katanya, kedudukan Malaysia kini menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

“Menurut analisis RSF, Kerajaan Madani mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani subjek sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.

“Mengikut RSF, Kerajaan Madani memberi tekanan kepada wartawan penyiasatan dan juga perbincangan mengenai kaum dan agama.

“Ianya dapat dilihat dengan berlaku banyak halangan di media sosial, sama ada Facebook atau TikTok, yang seharusnya menjadi medium kebebasan bersuara rakyat kepada kerajaan.

“Pihak kerajaan pula berhujah bahawa isu 3R menyebabkan indeks ini menurun. Namun, harus diingat, Malaysia sudah merdeka lebih 60 tahun dengan kepelbagaian agama dan kaum serta dinaungi raja-raja.

“3R sudah wujud berpuluh tahun. Facebook pula susah wujud lebih sepuluh tahun dan TikTok bukanlah baru wujud sebulan-dua. Maka, adalah tidak logik untuk berhujah penurunan indeks disebabkan media sosial dan 3R,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, penurunan itu menimbulkan kebimbangan mengenai pendekatan dan amalan kerajaan dalam menangani isu sensitif serta kecekapan menghadapi perubahan landskap media dinamik.

Katanya, ia adalah panggilan untuk refleksi serius dan tindakan mendalam selain Menteri Komunikasi dan Jabatan Komunikasi J-KOM sewajranya melihat isu berkenaan dengan lebih serius.

Shahir Adnan

Tambah beliau, dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan Malaysia menerusi indeks global, langkah kerajaan mereformasi undang-undang media dan memastikan hak asasi manusia termasuk kebebasan media perlu diberikan keutamaan tinggi dalam dasar serta amalan negara penting untuk memastikan rukun keselamatan, perpaduan, keharmonian, kestabilan dan keutuhan dijaga rapi.

“Di samping itu, peranan industri media tempatan juga harus diambil kira sebagai ejen dan pemangkin kepada kebebasan bersuara dalam konteks Perlembagaan negara.

“Jangan pula disusahkan media-media yang tidak pro kerajaan dengan pada masa sama, media pro pembangkang harus menjadi medium yang berwibawa dengan menghuraikan fakta, bukan fitnah,.” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast