perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

HULU SELANGOR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said membuat teguran agar Tan Sri Abdul Hadi Awang
tidak bersifat munafik sebagai seorang pemimpin politik.

Katanya, meskipun ditakdirkan kemenangan dicapai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, namun Presiden Pas itu perlu berpada-pada dengan ucapannya.

“Saya rasa sebagai pemimpin politik yang lebih penting janganlah ada sifat munafik. Dulu boleh, sekarang tak boleh, dulu sayang sekarang tak sayang tak bolehlah macam itu.

“Taulah boleh tambahkan cawangan, tapi agak-agaklah. Janganlah macam tak konsisten. Kenapa dulu boleh, tak ada isu yang sama ditimbulkan, sekarang ni pasal tidur mimpi lain-lain semua tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas
mengadakan perjumpaan dengan Orang Asli Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Azalina ditanya wartawan mengenai seruan Abdul Hadi yang  menggesa orang-orang UMNO di Selangor untuk tidak mengulangi kuasa politik zaman dulu dengan mendakwa parti DAP adalah ekstrem dan mempunyai agenda bagi mendapatkan kuasa politik yang halus dan licik.

Mengulas lanjut, Azalina yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, Abdul Hadi perlu lebih profesional sebagai seorang ahli politik.

“Keputusan pada kenyataan dialah. Bagi saya dia kena lebih profesional sebagai seorang ahli politik. Kita kena support atas bentuk ideologi, kalau kita memberikan sokongan kerana elemen takut menakutkan, elemen kononnya 3R.

“Bagi saya agak bukan satu pendekatan orang politik yang matang. Kematangan politik ialah ideologi,” ujarnya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan yang menyatakan PN akan memfailkan petisyen pilihan raya sekiranya parti itu tewas pada PRK Kuala Kubu Baharu, Azalina yang turut memegang jawatan Ketua Biro Tindakan Sivil UMNO berkata, itu merupakan hak PN.

Bagaimanapun, Azalina mempersoalkan adakah tindakan sama turut akan dilakukan oleh PN sekiranya calon yang diketengahkan parti itu menang.

“Itu hak merekalah, ikut perlembagaan dengan undang-undang pilihan raya sesiapa boleh failkan petisyen

“Tapi, isunya sebelum apa-apa terjadi nak failkan petisyen agak pelik seolah-olah macam dah tau kalah, saya tak taulah.

“Pada saya adakah bila dia menang pun nak fail petisyen ke, saya pun tak faham. Tak bolehlah ancam-ancam macam tu,” ujarnya.

Pada 7 Mei lalu, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin mengingatkan pengundi Kuala Kubu Bharu yang mereka mungkin perlu menghadapi pilihan raya kecil sekali lagi jika calon pembangkang, Khairul Azhari Saut, tewas.

Ini kerana kata Takiyuddin, PN akan mengemukakan petisyen bagi mencabar kemenangan berkenaan dengan alasan berlaku amalan rasuah dalam pilihan raya tersebut.

Kontroversi timbul baru-baru ini selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Nga bagaimanapun menegaskan, langkah itu tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana peruntukan terbabit diumumkan sebelum hari penamaan calon dan bukannya semasa tempoh berkempen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast