KUALA LUMPUR – Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) memperkenalkan  kategori baharu dalam edisi tahun ini iaitu Perseorangan Lelaki dan Perempuan Bawah-11 tahun (B11) bagi memupuk bakat pemain muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang berkata pengenalan kategori baharu itu dapat meluaskan pencarian bakat berpotensi untuk masa depan memandangkan kategori termuda dalam AJBC sebelum ini ialah B13.

“Sejak dua tahun lepas ibu bapa, guru dan pegawai telah meminta kita melihat kemungkinan menambah kategori baharu untuk pemain B11. Tidak ramai yang tahu bahawa perbezaan umur setahun atau dua boleh memberikan perbezaan dari segi kekuatan fizikal dan saiz.

“Selepas mempertimbangkan dengan teliti maklum balas ini, kita memutuskan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan kumpulan umur baharu untuk manfaat pemain-pemain muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya empat pemain AJBC telah dipilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil manakala beberapa finalis kategori B15 dijemput untuk menjalani percubaan dengan Akademi Badminton Malaysia pada tahun lepas.

“Saya amat gembira dengan perkembangan ini kerana ia menunjukkan AJBC bergerak ke arah yang betul dan sejajar dengan apa yang kita rancangkan.

“Kita sentiasa menyokong badminton Malaysia dengan memberikan lebih banyak peluang kepada pemain lelaki dan perempuan untuk bersaing dalam persekitaran kompetitif di seluruh negara,” katanya.

Lebih 2,500 pemain menyertai AJBC pada tahun lepas dan bagi edisi tahun ini, penyertaan dijangka meningkat kepada 3,000 merentasi 10 pusingan kelayakan.

Pusingan pembukaan berlangsung di Taiping, Perak pada minggu lepas dan diikuti Pulau Pinang dari 17 hingga 19 Mei ini dengan pusingan kelayakan turut diadakan di pelbagai venue di seluruh negara seperti Alor Setar, Cheras, Kuching, Kota Kinabalu, Kluang, Pengkalan Chepa, Bukit Beruang dan Kuantan.

Menurut kenyataan itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Intan, Nur Aina Maisarah dan Tan Zhi Ying dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) San Min masing-masing merangkul dua kejuaraan dalam kategori perseorangan dan beregu perempuan B15 dan B13 pada pusingan pembukaan di Perak.

Pusingan akhir AJBC yang menampilkan finalis B13 dan B15 dari semua pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Juara di Bukit Kiara dari 20 hingga 25 Nov.

Setiap pusingan akan menyaksikan 24 pemain layak ke pusingan akhir. Pemain B11 tidak akan mara ke pusingan akhir AJBC.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pemain yang menyertai pusingan kelayakan AJBC tidak perlu membayar sebarang yuran kemasukan.

Dalam pusingan kelayakan, tiga pemenang teratas dalam semua kategori umur masing-masing akan menerima hadiah RM500, RM300 dan RM150 untuk perseorangan serta RM600, RM400 dan RM200 untuk beregu.

Pada Grand Final, pemain yang menduduki tempat tiga teratas akan menerima hadiah RM1,000, RM600 dan RM300 untuk perseorangan manakala RM1,200, RM800 dan RM400 untuk beregu. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast