Masyarakat India di Batang Kali.

HULU SELANGOR – Hampir keseluruhan masyarakat India di Kuala Kubu Bharu (KKB) diyakini akan menyokong  Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Menurut Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal & Minoriti Selangor, V Papparaidu, walaupun sejak permulaan kempen kononnya komuniti India  akan memboikot calon namun ketika ini momentumnya jauh lebih positif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting itu optimis apabila perjalanan kempen yang memberikan peluang kepadanya mendekati masyarakat telah memberikan impak positif.

“Masyarakat kini jauh lebih arif, apa yang mereka mahu sebenarnya lebih kepada penyelesaian bukan cakap-cakap kosong, retorik. Kerajaan hari ini jauh lebih stabil malah kuasanya juga lebih besar sehingga ke peringkat persekutuan.

“Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi masyarakat kita, itu yang pasti. Kita juga fokus dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan bukan hanya pada masa PRK sebaliknya sejak dulu lagi. Selagi penyelesaian itu belum selesai, kita tidak diam.

“Baru-baru ini kecoh kononnya akan ada boikot terutamanya dalam kalangan kaum India. Di KKB, kita ada dalam 18 peratus pengundi India. Saya yakin dan sangat positif sekurang-kurangnya 15 peratus menyokong kita akan turun mengundi PH,” katanya.

Isu penempatan lima ladang di sekitar Hulu Selangor selesai dengan pengumuman oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

Kata Paparaidu lagi, sebelum ini isu penempatan 245 keluarga peneroka estet getah membabitkan lima ladang di Bestari Jaya, Hulu Selangor yang diusir tanpa rumah selesai apabila kerajaan mengumumkan akan membina kediaman untuk mereka.

Penyelesaian ini membabitkan isu di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.

Kata Paparaidu, sebelum ini isu ini panas sehingga menyebabkan ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab mahu mengambil kesempatan mengelirukan penduduk dengan mendesak mereka tidak keluar mengundi pada PRK KKB.

“Tetapi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM35 juta dan kerajaan pusat RM40 juta, ada syarikat menyediakan tanah 20 ekar untuk pembinaan rumah, jadi isu perumahan sudah selesai,” ujarnya.

Selain itu juga, kata Paparaidu, kerajaan negeri dan pusat juga sedang memperhalusi pelbagai isu dan inisiatif dalam memperkasakan masyarakat India secara keseluruhan dengan memberi fokus kepada ekonomi, pendidikan serta sosial.

“Bukan untuk PRK sahaja sebaliknya proses ini panjang dan berterusan, memperkasakan kedudukan kaum India selain memperkasakan komuniti ini dalam semua aspek pastinya menjadi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast