KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menyifatkan pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-20, Datuk Mutang Tagal sebagai kehilangan besar kepada negara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan usul tergempar itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.
”Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Yang di-Pertua Dewan Negara Ke-20, Yang Berhormat Datuk Mutang Tagal yang telah meninggal dunia pada jam 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
”Banyak jasa dan bakti yang telah mendiang sumbangkan kepada negara sepanjang perkhidmatannya,” katanya.
Wan Rosdy berharap keluarga mendiang terus tabah dan bersabar atas kehilangan insan tersayang.
Mutang, 70, yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mas pada 1982 hingga 1990 dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 19 Februari lalu.
Beliau yang merupakan pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. – MalaysiaGazette