HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan ada mengeluarkan arahan agar calon yang diketengahkan tidak ditemubual media pada saat-saat akhir berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu, Ng Sze Han berkata, tidak ada arahan seperti itu dikeluarkan kepada calon, Pang Sock Tao sememangnya mempunyai jadual sangat padat pada hari ini.
“Tak, tak, tak ada, tak ada…ini kerana hari ini merupakan hari yang terakhir. Jadi, kami bagi final push di semua kawasan yang tak berapa ok lagi.
“Jadual calon bagi hari ni memang padat sangat, penuh dari awal pagi hingga lewat malam,” katanya ketika ditemui pada ceramah kelompok Perpaduan di, Kerling di sini, malam ini.
Terdahulu, terdapat ‘cakap-cakap’ yang mengatakan agar Sock Tao tidak menemui media untuk ditemubual.
Arahan itu tersebar hanya kurang beberapa jam sebelum tamatnya tempoh berkempen pada pukul 11.59 malam ini.
Mengulas lanjut Sze Han berkata, tidak wajar arahan seperti itu dikeluarkan kerana calon yang ditonjolkan memahami segala isu dan mampu menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan oleh wartawan
“Kenapa kita nak beri arahan untuk tak bercakap sebab calon boleh jawab pertanyaan media dengan baik berbanding dengan calon lain
“…dia (calon lain) tak nak berjumpa dengan media, tapi calon kita boleh jawab apa sahaja pertanyaan media,” ujarnya.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan, calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut mengelak daripada bertemu media.
Sekumpulam wartawan yang ingin mendapatkan respon Khairul Azhari mengenai kempen hari terakhir ketika ceramah perdana semalam diberitahu beliau enggan memberikan sebarang komen.
Dalam ceramah perdana di Bandar Utama Batang Kali, Khairul Azhari memberitahu bahawa beliau diarahkan untuk ‘diam’.
Malah, calon anak tempatan itu sering memberikan alasan sama sebelum beredar ke lokasi kempen seterusnya, selain dilihat sering dibayangi beberapa pemimpin utama gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette