Ihsan Gambar : KPM

NIBONG TEBAL – Karnival Highly Immersive Programme (HIP) merupakan sebuah program khusus dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan warga sekolah.

Majlis Peluncuran HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang telah dilangsungkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana di sini dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam.

“Karnival ini menunjukkan komitmen KPM untuk terus memartabatkan Bahasa Malaysia dan dalam masa yang sama mengukuhkan kemahiran Bahasa Inggeris pelajar sebagai salah satu tumpuan utama reformasi pendidikan negara,” kata Fadhlina dalam ucapannya.

Dalam siaran media yang dikeluarkan oleh KPM, pelancaran program itu selaras dengan dasar memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan KPM.

“Dalam program ini, peserta akan didedahkan dengan pembelajaran Bahasa Inggeris yang kondusif melalui aktiviti seperti permainan tatabahasa, ejaan dan persembahan yang boleh mengasah kemahiran dan penggunaan Bahasa Inggeris mereka dengan yakin.

“Seramai 150 orang murid dan 38 orang guru daripada 19 buah sekolah KPM akan menyertai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan semasa karnival ini.

“Karnival HIP juga turut melibatkan rakan strategik, Financial Industry Collective Outreach (FINCO) dan MAXIS,” katanya. – MalaysiaGazette