Pasangan kembar pemegang kad orang kurang upaya (OKU), Muhammad Nazmi Mohd Mazlan dan Muhammad Nazri tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu. Foto MALAYSIA GAZETTE, 11 MEI 2024.

BATANG KALI – Lensa MalaysiaGazette pagi tadi tertumpu kepada pasangan kembar pemegang kad orang kurang upaya (OKU), Muhammad Nazmi Mohd Mazlan dan Muhammad Nazri yang tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pasangan yang menghadapi masalah pembelajaran berusia 25 tahun dari Taman Seri Batang Kali itu mengakui teruja untuk mengundi buat kali kedua dengan keluar seawal jam 7 pagi ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.

Menurut Muhammad Nazmi, beliau bersemangat untuk keluar mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin Ahli l Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Ini bukan pengalaman pertama (keluar mengundi) kerana sebelum ini pernah undi (pilihan raya).

“Kami mahu tunaikan kewajipan sebagai rakyat tempatan. Kami pilih keluar awal (pagi) sebab tak nak beratur panjang,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bersama kembarnya, Muhammad Nazri.

Muhammad Nazri bagaimanapun hanya tersenyum dengan menunjukkan jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Seramai 39,269 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih ADUN.

Sebanyak 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 saluran mengundi dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast