KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 45 set bubu naga bernilai RM6,000 dalam rondaan Op Aman di perairan Sungai Limau, Yan, Kedah baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan berdasarkan aduan dan pemantauan rutin yang dijalankan.

“Semasa rondaan di kawasan itu, kami menemui beberapa pancang yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tujuan pancang dipasang adalah untuk mengelirukan pihak berkuasa kerana pancang yang sama juga digunakan oleh pengusaha pukat hanyut.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Noor Azreyanti, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti haram yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Kami akan sentiasa menjalankan pengoperasian di  sepanjang Zon Maritim Malaysia untuk mengekang aktiviti jenayah,” tambahnya.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 11 (3) Akta Perikanan 1985. – MalaysiaGazette