Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AMPANG – Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun kerana disyaki mencuri dan memajak emas milik kawannya, kelmarin.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa apabila mendapati beg raga miliknya tidak berada di tempat asal.

“Pengadu dan dua orang rakan rumahnya telah membuat pemeriksaan di bilik masing-masing dan didapati bahawa dua orang daripada mereka telah kehilangan barang kemas.

“Mereka mengesyaki bahawa ada orang yang telah masuk ke rumah menggunakan kunci pendua kerana tiada sebarang kesan umpil di bahagian pintu dan gril,” katanya.

Siasatan mendapati suspek yang bekerja dalam bidang Komputer dan Industri Malumat (IT) telah diajak ke rumah mangsa untuk melawat sebagai seorang kawan lama.

“Dalam serbuan di rumah suspek yang terletak di Damansara itu, pihak polis telah menjumpai sekeping surat pajak emas dan merampas sebentuk cincin yang dipercayai milik mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati suspek bertindak sedemikian kerana mengalami masalah kewangan dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta negatif dadah.

“Wanita itu telah dibawa ke balai polis dan direman sehingga 13 Mei ini untuk pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” tambahnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman sehingga 10 tahun serta denda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette