Wong Chen.

KUALA LUMPUR – Kehadiran hampir 10,000 pengunjung memeriahkan acara Sambutan 25 Tahun PKR di Depot Sentul di sini sejak pagi tadi.

Pengarah acara itu Wong Chen berkata majlis pada hari ini yang berkonsepkan mesra rakyat membolehkan pengunjung bertemu pemimpin parti itu dengan lebih dekat.

“Presiden PKR (yang juga Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang meminta program ini dijalankan secara terbuka. Seperti kita tahu rakyat lebih suka program yang ada pasar sementara (pop up market).

“Hari ini juga ada kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang Jaya berkata terdapat dua sesi diadakan pada hari ini iaitu ‘Pop Up Market’ untuk sesi pagi dan kehadiran kepimpinan tertinggi pada sesi malam.

Sementara itu, pengunjung yang juga ahli PKR Teoh Geok Chor berkata program hari ini sangat memudahkan rakyat dengan pameran dan gerai yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan jualan.

“Saya datang dari Bagan, Pulai Pinang sejak awal pagi tadi. Semuanya sangat baik. Ada gerai makan dan kaunter trafik PDRM dan saya baru sahaja selesai bayar saman,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Dekyah Masmaria Wahab berkata pendekatan sambutan itu seiring dengan sifat Perdana Menteri yang sentiasa bersatu hati bersama masyarakat.

“PM (Anwar) kita memang dekat dengan rakyat. Sentiasa bersikap sederhana (low profile) dan tidak memburuk-burukkan parti lain,” katanya.

Selain Anwar, turut hadir malam ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta Naib Presiden Amirudin Shari, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, Aminuddin Harun, Nurul Izzah Anwar, Saraswathy Kandasami dan Awang Husaini Sahari.

Hadir sama Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.

Malam sambutan ulang tahun PKR itu ialah acara kemuncak bagi meraikan ulang tahun ke-25 parti tersebut dan pada 21 April lepas telah berlangsung Konvesyen Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast