Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao beramah mesra bersama pengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao melahirkan rasa teruja untuk meninjau semua pusat mengundi bagi melihat sendiri perjalanan proses demokrasi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang berlangsung hari ini.

Ketika ditemui media di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), Khing Ming di sini, Sock Tao berkata, dia amat bersemangat setelah mendapat rehat secukupnya selepas berhempas pulas menjalankan kempen selama 14 hari lalu.

Beliau menyeru agar pengundi-pengundi keluar awal kerana dibimbangi berdepan situasi sukar susulan keadaan cuaca yang tidak menentu pada kebaiasaannya di sebelah petang.

“Hari ini saya rasa amat bersemangat dan telah dapat rehat sebanyak lima jam.

“Saya harap semua pengundi di Kuala Kubu Baharu boleh keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Kuala Kubu Baharu.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua pengundi untuk keluar awal mengundi disebabkan oleh cuaca yang tidak menentu,” katanya yang tiba di pusat pengundian itu pukul 8.39 pagi dengan ditemani kakak kembarnya, Pang Sock Ying.

Menurut Sock Tao lagi, SRJKC Khing Ming merupakan pusat pengundian pertama yang dikunjungi oleh beliau dan akan melakukan perkara sama di lokasi-lokasi lain.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

PRK Kuala Kubu Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Muda dengan majoriti undi 4,119. – MalaysiaGazette