KUALA LUMPUR – Ganjaran sejumlah US$5,000 (RM23,690) akan diberikan kepada mana-mana sherpa atau individu yang memberikan maklumat mengenai lokasi Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang di Gunung Everest pada Mei tahun lepas.
Presiden Persatuan Malim Gunung Perhutanan (PMGP) Mohd Yussainy Md Yusop dalam kenyataan hari ini memaklumkan ganjaran oleh Pioner Adventure Pvt.Ltd itu akan diberikan kepada sherpa atau individu khususnya yang berada di Everest pada musim mendaki tahun ini.
Katanya, ketua Misi Everest 2023 Azim Afif kini berada di Everest untuk menyelaraskan operasi di lapangan.
“Expedition Operator Association telah dimaklumkan mengenai ganjaran berjumlah US$5,000 tersebut sekiranya sherpa atau mana-mana individu yang berada di Everest dapat memberikan maklumat lokasi Hawari terus kepada Pengarah Eksekutif Pioneer Adventure Pvt. Ltd, Nivesh Karki,” menurut kenyataan itu.
Mohd Yussainy berkata usaha mencari dilaksanakan oleh PMGP dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang yang menggerakan usaha berkenaan atas dasar kemanusiaan.
Selain itu, PMGP juga mendapat nasihat teknikal daripada Agensi Angkasa Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam pelaksanaan misi mengesan lokasi Hawari.
“Selain itu, pihak PMGP turut mendapat kerjasama Pejabat Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal yang memaklumkan kepada Menteri Luar Nepal untuk tentera negara tersebut memberikan perhatian semasa Kempen Pembersihan Gunung yang sedang berjalan di Everest,” menurut kenyataan itu.
Muhammad Hawari, 34, merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, dipercayai hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest yang berketinggian 8,848 dari paras laut, pada Mei tahun lepas. – BERNAMA