KUALA LUMPUR – Penganjuran program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) akan membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, maklum balas dan pandangan yang diterima itu akan digunakan untuk memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan
Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
Menurutnya, antara kandungan utama kepada pindaan Akta 668 adalah merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.
“Pindaan Akta 668 telah diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026 dan sehubungan itu, Kembara JOM merupakan platform terbaik bagipemegang taruh belia mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang pelan
transisi kepimpinan belia.
“Program ini juga dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkaitan Akta 668 dan pindaan 2019 serta meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai hala
tuju belia dan kepimpinan belia negara.
“Pada masa sama, Kembara Jom ini juga membolehkan mereka mendapatkan maklumat terkini untuk merangka program dan aktiviti pembangunan belia yang menyeluruh, inklusif dan komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas penganjuran program Kembara JOM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kembara JOM merupakan sebuah inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Antara pengisian aktiviti di bawah Kembara JOM adalah taklimat oleh ROY, aktiviti Rakan Muda dan pameran reruai oleh jabatan atau agensi kerajaan.
Pelaksanaan Kembara JOM ini juga menzahirkan komitmen Kerajaan Madani di dalam memperkasakan pembangunan belia seiring dengan hasrat dan aspirasi dalam kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030. – MalaysiaGazette