Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.-MUHD NA’IM, 13 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu semalam merupakan simbolik penerimaan rakyat terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, rakyat yakin gabungan 18 parti tersebut mampu membawa negeri dan negara lebih baik meskipun keadaan ekonomi dunia yang mencabar.

“Faktor kemenangan ialah keyakinan terhadap kerajaan negeri dan pusat yang mampu membawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kehidupan yang lebih harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Keyakinan ini terlihat apabila peranan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) yang mampu mengemudi Selangor dan peranan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dilihat lebih berwibawa membawa negara ke landasan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pengumuman enam ahli Parlimen dari Bersatu menyokong kerajaan perpaduan, sambutan Aidilfitri kerajaan di negeri pembangkang dan kestabilan kerajaan menyaksikan orang Melayu semakin selesa untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Tambah beliau, permohonan maaf secara  terbuka oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada Perdana Menteri turut menyumbang sokongan rakyat kepada calon PH.

Awang Azman berkata, kesepaduan semua jentera termasuk Barisan Nasional mulai menampakkan keserasian walaupun ada sedikit cabaran dalam mengharungi tempoh kempen yang akhirnya berjaya membantu kemenangan calon.

Sementara itu menurut beliau, kekuatan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin longgar apabila isu 3R yang membabitkan raja, kaum dan agama kurang mendapat tempat di hati pengundi setempat di KKB.

Ini dapat dilihat terhadap kemenangan calon PH di enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi yang mempunyai majoriti Melayu
berbanding keputusan pilihanraya negeri tahun lepas yang menyaksikan PH kalah di semua lapan PDM tersebut.

Cubaan pembangkang untuk mendapatkan sokongan kaum India juga dilihat tidak berjaya.

“Punca segala macam kempen boikot terutama masyarakat India yang digerakkan pembangkang tidak berlaku kerana melihat mereka yang terlibat tersebut tidak mempunyai wibawa dan ditolak oleh orang India sendiri.

“Malah tidak diyakini oleh penduduk setempat sendiri juga dianggap liabiliti oleh masyarakat India,” kata Awang Azman.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak bermakna pemimpin Kerajaan Perpaduan terus bergembira sebaliknya perlu memperkemaskan sistem penyampaian dan maklumat pembangunan dengan lebih agresif daripada segi media sosial khususnya medium TikTok.

Pang Sock Tao, yang bertanding atas tiket PH mewakili Kerajaan Perpaduan, menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Sock Tao memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari meraih 10,131 undi, Ke Xin (188) dan Hafizah (152). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast