Kumang Gawai diadakan bertujuan untuk memilih gadis yang bukan sahaja cantik tetapi mempunyai pengetahuan tentang adat dan tradisi suku kaum masing-masing.

KAPIT – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan pertandingan ratu cantik atau Kumang Gawai adalah mempromosikan warisan kebanggaan kaum Dayak kepada dunia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pertandingan itu bukan untuk merendahkan martabat wanita, sebaliknya lebih kepada memperagakan kesinambungan identiti, budaya kaum tersebut.

“Saya difahamkan ada ahli akademik mendakwa pertandingan (Kumang Gawai) itu merendahkan martabat wanita namun ramai yang tidak setuju dengan pandangan itu meluahkan rasa marah mereka berhubung perkara terbabit.

“Kumang Gawai ini bukan semata-mata untuk kita mengatakan siapa cantik, siapa kurang cantik..tetapi sebenarnya kita menggunakan mereka sebagai model memperagakan pakaian tradisional yang kita banggakan selain ia ada kaitan dengan ketamadunan Dayak.

Alexander Nanta Linggi.

“Kebudayaan Dayak itu mempunyai kelebihan tersendiri dan ia harus dimanfaatkan supaya warisan kebanggaan kaum Dayak itu dapat diperlihatkan ke masyarakat dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pengerami Mantar Gawai Dayak 2024 di Dewan Suarah di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Nanta Linggi berkata, mungkin ada yang beranggapan warga emas boleh memperagakan pakaian kebudayaan itu tetapi timbul kekangan apabila sudah menjangkau usia mereka ini akan kekok untuk berada di atas pentas.

Media sebelum ini melaporkan, Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan menyifatkan pertandingan ratu cantik Kumang Gawai yang diadakan setiap tahun ketika sambutan Gawai Dayak sebagai merendahkan martabat wanita kaum tersebut.

Pakar Akademik itu turut mendakwa Kumang Gawai pada asalnya tidak pernah menjadi sebahagian daripada pesta menuai.

Dalam tempoh sebulan menjelang Hari Gawai, pertandingan Kumang Gawai akan diadakan bertujuan untuk memilih gadis yang bukan sahaja cantik tetapi mempunyai pengetahuan tentang adat dan tradisi suku kaum masing-masing.

Pemilihan Kumang Gawai yang disertai oleh gadis remaja juga dinilai berdasarkan pakaian tradisi dipakainya berserta dengan aksesori bersesuaian dengan pakaian dan suku kaum yang diwakili. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast