PELABUHAN KLANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan semua atlet yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 termasuk atlet badminton negara, Lee Zii Jia akan diberikan sokongan menerusi Institut Sukan Negara (ISN).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, walaupun Zii Jia tidak menyertai program Road To Gold, namun jaguh perseorangan lelaki profesional negara tetap mendapat sokongan kerajaan.

“Pemain kita telah layak dan saya tahu Zii Jia telah sasarkan emas untuk diri beliau.

“Walaupun beliau bukan atlet dalam Road To Gold, tetapi semua atlet yang layak diri ke Paris akan diberi sokongan khas daripada KBS melalui perkhidmatan ISN.

“Kita akan pastikan atlet-atlet kita dijaga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Rakan Bumi Initiative For Mangrove Planting Programme 2024 di Mangrove Point di sini.

Dalam pada itu, Hannah menggesa semua atlet negara mencontohi Pocket Roketman, Datuk Azizulhasni Awang dan terkini Zii Jia kerana berani mensasarkan pingat emas untuk diri sendiri.

“Mempunyai keyakinan diri dan sasaran diri, itu adalah sangat penting bagi setiap atlet dan saya sarankan untuk setiap atlet mempunyai sasaran seperti itu.

“Harapan saya semua atlet dalam Road To Gold itu mereka tahu, ada kemampuan kalau betul-betul nak mendapatkan peluang tinggi bawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini semua atlet negara sama ada dalam Road To Gold ataupun tidak yang layak ke Paris sudah diberi bantuan sewajarnya.

“Setakat hari ini memang segala nilai tambah servis yang mereka perlukan untuk ke Paris kita telah salurkan.

“Tolong jangan mempunyai apa-apa kecederaan pada masa ini sehingga Paris nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette