PUTRAJAYA – Buat julung kalinya, Program Penyalinan Al-Quran Sejagat bersempena Hari Ibu dianjurkan oleh Yayasan Restu bagi memartabatkan serta membudayakan menyalin serta menulis ayat suci Al-Quran.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latif Mirassa berkata, walaupun daripada sudut Islam Hari Ibu tidak perlu diraikan, namun program ini bagi mendidik kepada umum bahawa ia boleh disambut setiap hari bukan pada hari tertentu.
“Hari ini amat bermakna kerana buat julung kali, kita globalkan program penyalinan Al-Quran ini di merata dunia menerusi satu lembaran. Memandangkan hari ini Hari Ibu, kita ambil ayat berkaitan ibu untuk disalinkan.
“Biarpun kita tidak sepatutnya meraikannya seperti budaya barat namun kita tahu pengaruhnya amat kuat. Jadi di kesempatan ini, kita tunjuk dan betulkan bahawa Hari Ibu adalah setiap hari menerusi ayat Al-Quran ini.
“Kedua, saya mahu membudayakan menyalin dan menulis kerana dalam konsep adab ‘ada dakwat ada bicara’. Kita revolusikannya di kalangan masyarakat bukan hanya mendengar atau lihat sahaja ayat suci Al-Quran,” ujarnya pada pemberita.
Abdul Latif juga memaklumkan, program tersebut akan dianjurkan secara berterusan menerusi Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober depan dengan menampilkan ayat Al -Quran yang berkaitan untuk disalin semula.
Pada masa sama ujarnya, program tersebut juga boleh dijadikan satu aktiviti untuk menarik orang bukan islam mempelajari kaligrafi jawi untuk menulis nama mereka.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Nizran Noordin merasmikan Program Penyalinan Al-Quran Sejagat bersempena Hari Ibu di Kompleks Nasyrul Quran di sini , hari ini.
Lebih 200 peserta tempatan termasuk dari Islamic Tourism Centre (ITC) turut terlibat antaranya dari Algeria, Azerbaijan, Bangladesh, Kemboja, Jordan, Kazakhstan, Croatia, Kyrgyzstan, Maldives, Mauritius serta Filipina.
Sementara itu, Nizran yang ditemui turut menyambut baik inisatif dianjurkan Yayasan Restu yang mana ia mampu menjadi salah satu portfolio dalam merancakkan pelancongan Islam di negara ini.
“Dalam program hari ini, peserta ITC yang dijemput hadir terdiri daripada pegawai tertinggi negara masing-masing, dan ia sekaligus dapat mengetengahkan pada mereka ekosistem pelancongan islam negara kita.
“Ditambah pula, mereka boleh pelajari dan mendapat info lebih berkaitan di sini yang merupakan sebuah pusat percetakkan mushaf Al-Quran bertaraf antarabangsa yang kedua di dunia selepas Madinah.
“Saya juga berharap program di Nasyrul Quran dapat dikembangkan lagi bukan sahaja di Malaysia tetapi secara global menerusi fasiliti internet yang meluas bagi membuka mata dunia,” jelasnya. – MalaysiaGazette