KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu dan menyita penjaja warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) dan Lebuh Pudu, semalam.
DBKL menerusi kenyataan berkata, penguatkuasaan sita dan pindah halangan dilakukan terhadap tujuh penjaja warha asing Bangladesh yang menjual sireh, makanan dan pakaian terpakai.
“Pada sebelah tengahari Ahad 12 Mei 2024, DBKL telah membuat rutin pemantauan dan tindakan terhadap satu penjaja menjual sireh dari warga Bangladesh lokasi sama di Jalan Silang,” katanya.
Dalam masa yang sama, penjaja yang terlibat dikenakan tindakan di bawah kesalahan UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
“Kesemua barangan yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan rekod.
“DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan dari masa ke semasa. Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan di portal adu@kl di pautan adukl.dbkl.gov.my,” ujarnya. – MalaysiaGazette