KAPIT, Sarawak – Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap jawatan Speaker Dewan Negara akan diisi calon dari Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pertimbangan itu sekali gus memberi peluang kepada calon dari Sarawak menjadi Speaker Dewan Negara bagi tempoh satu penggal ini.
“Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini menjadi Speaker (Dewan Negara) dan selepas setahun beliau terpaksa melepaskan jawatan itu untuk menjadi TYT (Yang Dipertua Negeri Sarawak).
“Kemudian jawatan berkenaan digantikan oleh mendiang Datuk Mutang Tagal namun kita kehilangan beliau baru-baru ini, jadi tiga tahun atau satu penggal belum sempat lagi (wakil Sarawak menjadi Speaker Dewan Negara)
“Bagaimanapun, kita menyerahkan semua keputusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.
Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 pada 19 Jun tahun lalu, sebelum dilantik sebagai TYT Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari lalu hingga 26 Januari 2028.
Susulan itu, Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Mutang mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Februari lalu sebelum dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 10 Mei lepas. – MalaysiaGazette