Kampus IMU

KUALA LUMPUR – IMU University mengambil langkah berani untuk mendukung konsep One Health yang didukung oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Konsep One Health memperjuangkan tafsiran kesihatan yang lebih meluas dengan mengiktiraf kaitan rapat dan hubungan yang wujud di antara manusia, haiwan dan ekosistem selain memperluaskan kerjasama menghadapi penyakit baru bakal muncul serta peranan manusia dalam menangani perubahan iklim.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan IMU University, Profesor Gerard George, pihaknya menerima kepelbagaian dalam penjagaan kesihatan supaya dapat menawarkan pembelajaran dan kerjaya yang lebih luas kepada para pelajar.

“Kami berhasrat untuk terus memupuk para profesional untuk masa hadapan, cendekiawan, penggubal dasar dan pemimpin industri untuk memberi kesan positif kepada masa hadapan penjagaan kesihatan.

“Dalam semakan terbaharu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), IMU University tersenarai antara lapan institusi terbaik negara dan reputasinya terus terjamin dengan penerimaan anugerah tertinggi SETARA (Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia) untuk kali ketiga.

“Pengalaman mapan kami dalam penjagaan kesihatan diharapkan dapat menjadikan IMU University sebagai pilihan utama mereka yang mahu menimba ilmu tentang ekosistem penjagaan kesihatan, untuk kerjaya yang lebih utuh,” katanya.

Penjenamaan semula ini dipercayai dapat menyerlahkan ketangkasan dan komitmen IMU University dalam memperjuangkan ekuiti kesihatan dan kualiti hidup melalui kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

“Dengan adanya tumpuan baharu, diharapkan dapat memperkukuhkan kemampanan, ekuiti kesihatan dan kewarganegaraan global serta membuka jalan untuk disenaraikan dalam kalangan 500 universiti terbaik global,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast