kenderaan pengiring PDRM yang menyertai konvoi Lead Car Ketua Menteri Melaka antara lapan kenderaan dihempap pokok tumbang dalam insiden di Jalan Pinang dna Jalan P Ramlee ibu negara petang hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan buah kenderaan rosak akibat dihempap pokok di Jalan Pinang dan Jalan P Ramlee, di sini, berikutan hujan dan angin kencang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati tiga kereta, termasuk sebuah kereta pengring polis, dan lima buah motosikal terjejas daripada kejadian pukul 3.26 petang itu.

Jelasnya, kereta polis itu merupakan kereta utama yang mengiringi konvoi kereta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden ini kepada pemandu dan penumpang kesemua kenderaan terlibat,” katanya, hari ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan kenderaan jenis Lexus 350 yang dinaiki Ab.Rauf nyaris dihempap pokok tumbang di hadapan Kuwait Bank di Jalan Pinang, di sini.

Difahamkan Rauf sedang menghadiri satu urusan di ibu negara semasa insiden itu berlaku. – MalaysiaGazette