Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam) mempersoalkan keterbukaan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) menjadi rakan strategik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Presiden Perwatam Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Anthony pada 8 Mei telah menimbulkan kekeliruan kepada sebahagian besar pemain industri kerana bercanggah dengan kenyataan JPJ.

Ini kerana JPJ telah menafikan pihaknya mengaudit, mengesah dan meluluskan pembaharuan cukai jalan secara dalam talian di BJAK.

Jabatan tersebut juga menerima aduan orang ramai tentang pembaharuan cukai jalan yang dilakukan melalui laman sesawang BJAK tidak dikemaskini tempoh sah laku serta tidak mempunyai integrasi system dengan JPJ.

“Ini menunjukkan bahawa pihak BJAK dengan jelas telah melanggar etika dan integriti serta memberi gambaran bentuk penipuan pemasaran perniagaan secara jelas tanpa mengambil tanggungjawab akan kesan yang berlaku.

“Bagaimana seorang menteri yang bertanggungjawab di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) boleh mengeluarkan kenyataan secara khusus dan dengan terbuka boleh menawarkan kepada syarikat BJAK yang jelas telah melanggar etika, integriti dan penipuan perniagaan untuk menjadi rakan strategik?

“Apakah pihak MOT membenarkan mana-mana syarikat untuk menjadi rakan strategik tanpa mengira soal integriti yang ada pada syarikat tersebut?” soal beliau.

Tegasnya, jika kerjasama strategik antara JPJ dan BJAK dibenarkan ia boleh memberikan kesan buruk kepada kementerian dan JPJ dari sudut integriti dan tatakelola yang baik seperti yang diusahakan oleh kerajaan.

Perwatam akan menentang sebarang usaha oleh individu, syarikat dan organisasi yang terpalit dengan isu integriti, rasuah dan penipuan seiring dengan usaha kerajaan melaksanakan tatakelola yang baik dan bersih.

“Perwatam menuntut penjelasan secara terperinci daripada pihak MOT dan menteri berkaitan kenyataan yang dikeluarkan. Ini bagi membolehkan kekeliruan tersebut tidak dipertikaikan oleh semua pihak nanti,” kata Khairi Anuar dalam kenyataan.

Artikel berkaitan:BJAK beri perkhidmatan pilihan kepada pelanggan, nafi kenyataan JPJ

BJAK tidak pernah diberi kelulusan untuk urus niaga pembaharuan cukai jalan – JPJ

Anthony sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya terbuka untuk BJAK menjadi rakan strategik kepada JPJ namun platform insurans dalam talian mesti melalui saluran sepatutnya.

Katanya, BJAK mesti secara rasmi memohon menjadi rakan strategic JPJ.

Sebelum itu JPJ berkata, pihaknya mahupun MOT tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK untuk menyediakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.

JPJ menjelaskan iklan dikeluarkan syarikat itu di media sosial dan laman sesawangnya juga adalah tidak benar dan mengelirukan.

Pihaknya juga menerima aduan berhubung dikenakan bayaran tambahan dikenakan BJAK bagi pembaharuan cukai jalan.

BJAK kemudian dalam kenyataan mengakui isu dibangkit JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa, sambil menyatakan perkhidmatan utamanya kekal bagi perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan.-MalaysiaGazette