Nur Aishah Abd Samad berusia 25, (baju kurung biru) bersama dua anaknya (pertama dan kedua dari kanan) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah perlindungan wanita di PJ Jumaat lalu.Gambar kredit: PDRM

KUALA LUMPUR – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mencari dan menjejaki tiga beranak yang dilaporkan hilang dari rumah perlindungan wanita di Seksyen 20, Petaling Jaya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, Balai Polis Sea Park menerima laporan berkaitan kehilangan ibu dan dua anaknya pada jam 5.47 petang 11 Mei lalu.

“Tiga beranak itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah perlindungan pertolongan wanita pada jam 4.30 petang, Jumaat.

“Ketiga-tiga orang hilang itu identitiya adalah seorang wanita dikenali sebagai Nur Aishah Abd Samad berusia 25 tahun bersama-sama anak perempuannya Putri Risha Annur Amsiah Abdul Razzaq berusia lima tahun dan anak lelakinya, Putra Raish Irfan Shah berusia tiga tahun.

“Wanita dewasa itu berketinggian 169 sentimeter, berat 50 kilogram, warna kulit hitam manis serta bertudung, hidung mancung dan mata sepet,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Shahrulnizam, wanita itu merupakan mangsa keganasan rumah tangga yang mana beliau dipukul suami di sebuah premis kedai makan di Seksyen 7 Shah Alam pada 2 Mei lalu.

“Berikutan itu, mangsa dan dua anaknya dihantar ke Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam selepas diselamatkan oleh orang awam sebelum ibu dan dua beranak telah ditempatkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat Shah Alam.

“Ketiga-tiga beranak kemudian dihantar ke rumah perlindungan dan pertolongan wanita terbabit sebelum insiden kehilangan mereka berlaku,” katanya.

Jelasnya, dalam laporan polis yang dilakukan wanita itu, beliau mendakwa suaminya merupakan seorang penagih dadah.

Beliau memberitahu, wanita itu dengan dua anaknya secara sukarela meninggalkan rumah perlindungan tersebut kerana tidak lagi sanggup duduk di situ.

Menurut Shahrulnizam, siasatan mendapati wanita itu menghadapi masalah keluarga sebelum berkahwin yang mana ibu bapanya telah bercerai.

Katanya, wanita itu pernah melarikan diri dengan teman lelakinya semasa berusia 19 tahun dan selepas mendirikan rumah tangga dengan suaminya, wanita itu tidak berjumpa dengan ibu bapanya.

“Siasatan kami menunjukkan selepas ketiga-tiga mereka dihantar ke rumah perlindungan dan pertolongan wanita jam 1.30 petang pada hari kejadian, tidak sampai tiga jam berada di sana, wanita itu meminta izin penjaga untuk keluar dengan alasan mahu mencari masjid untuk solat sebelum dilihat meninggalkan premis itu besama dua anak kecilnya pada jam 4.30 petang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tiga beranak itu boleh menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Safuan Alias di talian 011-10255725 atau 03-78742222. – MalaysiaGazette