Ab Rauf melihat kerosakan bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka yang rosak akibat dibadai ribut petang Sabtu yang dianggarkan melibatkan kos RM3 juta.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata beliau tidak mengalami kecederaan selepas keretanya yang dinaikinya nyaris dihempap pokok tumbang di hadapan Kuwait Bank di Jalan Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pokok yang tumbang itu hanya menghempap belakang kenderaan jenis Proton X70 pengiring beliau.

“(Kenderaan) Polis yang mengiringi saya baru sahaja melintas di Kawasan tersebut tapi malang pokok tersebut juga menghempap di bahagian belakang kereta pengiring saya.

“Alhamdulilah saya berada dalam keadaan yang selamat dan kita minta supaya pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok yang berada di sekitar bandar raya,” katanya dalam satu audio kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian pokok tumbang di di hadapan Kuwait Bank di Jalan Pinang, di sini, berikutan hujan lebat melanda ibu negara.

Kejadian itu hampir menghempap kenderaan yang membawa Ab. Rauf.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, kejadian berlaku jam 3.30 petang semasa beliau sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri satu urusan rasmi di ibu negara.

“Sewaktu kejadian jam 3.30 petang saya berada betul-betul di tempat kejadian yang menimpa sebuah kereta tatkala itu kenderaan saya tidak bergerak memandangkan cuaca ketika itu tidak mengizinkan untuk bergerak,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang pada 7 Mei lalu, pemandu peribadi, Md Rizal Atan, 47, maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini, ketika dalam perjalanan ke sebuah hotel untuk menjemput tetamu syarikat majikannya.

Kejadian itu turut menyebabkan dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel. – MalaysiaGazette