Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak 399,000 transaksi hartanah bernilai RM200 bilion direkodkan pada tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkembangan tersebut membuktikan pasaran hartanah negara sedang menuju pemulihan dan pertumbuhannya stabil.

“Jumlah ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus dan jumlah pulangan 9.9 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Rumah Serantau.

Menurut beliau, sejak Kerajaan Madani memerintah, jumlah hartanah yang tidak terjual semakin berkurangan daripada 37,066 kepada 24,000 unit.

Dalam masa sama, banyak  saham dalam sektor hartanah mengalami peningkatan.

“Jumlah pengurangan ini besar dan perubahan baik ini signifikan iaitu berkurangan sebanyak lebih 40 peratus.

“Beberapa kaunter hartanah telah menyaksikan peningkatan lebih daripada 600 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu, katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin pasaran hartanah tahun ini akan menjadi lebih baik sekali gus membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).- MalaysiaGazette