Anwar Ibrahim bertemu dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di Amiri Diwan Doha, Qatar.

KUALA LUMPUR – Lawatan perdana Menteri ke Qatar teleh meraih potensi sebanyak RM700 juta eksport dan perkhidmatan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Komitmen eksport dibuat oleh pelbagai para peneraju industri Qatar semasa mesyuarat meja bulat perniagaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Doha.

Hasil yang menggalakkan ini difasilitasi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Qatar serta menyerlahkan peluang yang saling menguntungkan yang menanti.

Sejumlah 45 peneraju industri Qatar terkemuka daripada 36 syarikat menghadiri mesyuarat meja bulat itu, mewakili sektor seperti makanan dan pemprosesan makanan; farmaseutikal; bahan binaan; hartanah dan pembinaan; pendidikan; hospitaliti dan penjagaan kesihatan; kewangan; penerbangan; runcit/pengedaran dan ekonomi digital.

Semasa dialog meja bulat itu, perdana menteri mengulangi komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Qatar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Anwar menekankan, daya tarikan menarik Malaysia dengan sistem infrastruktur yang kukuh, kedaulatan undang-undang, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih, pelaksanaan projek berdisiplin dan ekosistem perniagaan yang rancak menjadikan ia destinasi menarik bagi pelabur yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan atau perkhidmatan strategik mereka bagi pasaran Asia, untuk meraih peluang pertumbuhan baharu dan kepelbagaian.

Sementara itu, Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, mesyuarat meja bulat di Doha berfungsi sebagai pemangkin untuk memupuk perkongsian strategik, menggalakkan pelaburan dan peluang perdagangan, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau mengulangi keutamaan MITI dan agensinya untuk memudahkan semua komitmen eksport dan pelaburan oleh perniagaan Qatar, khususnya dalam sektor seperti ekonomi digital kimia/petrokimia, elektrik dan elektronik termasuk alat perubatan), pemprosesan makanan, industri halal, farmaseutikal, minyak dan gas, dan tenaga yang boleh diperbaharui.

Tengku Zafrul juga menekankan kepentingan strategik Malaysia sebagai rakan dagangan utama, memandangkan keahliannya dalam 16 Perjanjian Perdagangan Bebas yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan Qatar yang berpangkalan di Malaysia.

Mesyuarat meja bulat itu turut dihadiri Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Semasa mesyuarat itu, pelabur sedia ada dan pengimport menyatakan penghargaan mereka atas usaha Malaysia dalam mewujudkan persekitaran untuk pelaburan dan pertumbuhan perniagaan.

Perbincangan itu menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Qatar untuk meneroka jalan baharu untuk Kerjasama dan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua ekonomi. – MalaysiaGazette