Oplus_0

PELABUHAN KLANG – Lebih 60 peratus import sayur-sayuran di negara ini didakwa dikuasai syarikat milik warga asing sejak permit import (AP) dimansuhkan kerajaan pada Mei 2022.

Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat berkata, ia menyebabkan warga asing mampu mengawal harga sayur-sayuran di pasaran.

“Pada Mei 2022, kerajaan ketika itu tiba-tiba memansuhkan AP khususnya bagi produk kobis bulat dan kelapa tanpa perbincangan dengan pemain industri.

“Sejak itu berlaku kemasukan syarikat milik 100 peratus warga asing dalam pengimportan sayur-sayuran.

“Sekarang lebih 60 peratus import sayur-sayuran negara kita dikuasai oleh syarikat yang diusahakan oleh warga asing ataupun pengusaha luar, situasi ini membimbangkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng (tengah) menunjukkan memorandum kepada Perdana Menteri mengenai ancaman industri sayur-sayuran tempatan selepas sidang media di pejabatnya di Kawasan Perindustrian. Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, hari ini.

Menurut Meng, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah pengimportan sayur-sayuran yang dilakukan syarikat warga asing itu kini mencecah RM1 bilion sejak AP dimansuhkan.

“Kalau ada AP ini, kita dapat menghalang warga asing daripada mereka terus menjalankan aktiviti di Malaysia.

“Walaupun kita nampak sebahagian sahaja sayur ada kuota import, tapi mereka akan menjejaskan sayur-sayuran yang lain,” katanya.

Selain itu, Meng juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk melindungi golongan petani yang kini berdepan kerugian besar akibat harga sayur-sayuran di bawah harga kos.

“Konsep ini akan menetapkan kuantiti belian atau keperluan pasaran.

“Kami sedia bekerjasama memperluaskan tahap tanaman dan mempertingkatkan hasil sayur-sayuran untuk memenuhi keperluan rakyat dan bukan bergantung kepada import,” katanya.

Sementara itu, Meng menggesa kerajaan mewujudkan sistem kawalan kuota import supaya jumlah sayur-sayuran yang diimport tidak melebihi daripada permintaan pasaran

“Kami memohon kerajaan mewujudkan sistem kawalan kuantiti import supaya tidak berlaku import berlebihan hingga berlaku lambakan dan pembuangan sayur di merata tempat,” katanya.

Kerajaan juga digesa untuk memperkenalkan harga siling bagi sayur-sayuran di bawah barang kawalan agar kuota import tidak dimonopoli syarikat warga asing.

“Kami berjanji sekiranya kerajaan bersetuju mengadakan sistem kawalan ini.

“Kami sedia bekerjasama sepenuhnya memberikan satu harga syiling supaya kerajaan kita tidak perlu risau sayur-sayuran dimonopoli atau menguntungkan pihak tertentu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast