JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan dan empat warga India termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerdagangan manusia bagi eksploitasi seks membabitkan enam wanita warga India.

Pengurus kilang pembuatan plastik S.Bala Muraly, 46, dan empat warga India Sahayaraj Raju, 41, Thiruneelakandan Kasinathan, 39, Nithyarettamary Yesurajan, 39, dan Karpagavali Jeyakumar, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail serta Hakim Fatimah Zahari.

Bala Muraly, Thiruneelakandan, Sahayaraj dan Nithyarettamary didakwa bersama-sama  memperdagang dua wanita warga India berumur 23 dan 27 tahun dengan menggunakan kekerasan serta paksaan di sebuah kondominium di sini antara 24 Dis tahun lepas dan 24 April tahun ini.

Bagi dua pertuduhan lain, Bala Muraly, Sahayaraj dan Nithyarettamary didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap dua wanita warga India berumur 30 dan 33 tahun di tempat serta tarikh sama.

Bala Muraly, Thiruneelakandan dan Karpagavali turut didakwa melakukan kesalahan itu terhadap dua wanita warga India yang masing-masing berusia 33 tahun di sebuah hotel di sini antara 4 Mac lepas hingga 20 April lepas.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007  yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kodesviary Ramanaidu menawarkan Bala Muraly jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin tempatan beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan rumahnya sebulan sekali manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh warga India.

Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly, yang mewakili Bala Muraly, memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun.

Mohd Fazaly, yang turut mewakili Sahayaraj Raju, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya yang bekerja di kedai runcit di sini diikat jamin kerana dia menyara keluarga serta ibunya di India.

Nithyarettamary, Thiruneelakandan dan Karpagavali pula tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mahkamah membenarkan Bala Muraly diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia untuk setiap empat pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri sebulan sekali di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru.

Fatimah turut membenarkan jaminan RM30,000 kepada Sahayaraj Raju dengan seorang penjamin warga Malaysia beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran rumahnya setiap dua minggu.

Terdahulu, Nithyarettamary dan Karpagavali mengaku bersalah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin atas pertuduhan tinggal di negara ini setelah tamat tempoh pas mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Karpagavali dijatuhi hukuman penjara lima bulan manakala Nithyarettamary diperintah membayar denda RM10,000 atau penjara 12 bulan.

Kedua-dua wanita didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di sini pada 19 April lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast