Lori tangki minyak yang terbabas di Lebuhraya Karak.

GOMBAK – Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak masak terpakai terbabas dalam satu insiden kemalangan jalan raya di Lebuhraya Karak semalam.

Insiden yang berlaku di Kilometer 36.8 Lebuh Raya Karak itu mengakibatkan berlaku tumpahan minyak di atas jalan, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir hari ini.

Katanya, polis menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 9 malam.

“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 2 petang apabila pemandu lori berusia 50 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan telah terbabas ke bahu jalan lebuh raya tersebut.

“Mangsa memaklumkan kenderaan lori jenis Volvo yang dipandunya sedang dalam perjalanan dari daerah Kuantan menuju ke Pelabuhan Klang.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, ketika itu hujan lebat, tiba-tiba lorinya telah hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di Karak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Kes sedang disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau 03-6126222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast