KUALA LUMPUR – Kerajaan Mesir digesa supaya membuka sempadan Rafah agar semua bantuan yang tersekat dapat disalurkan ke Gaza.
Malah, orang awam yang cedera di Gaza mesti dipermudahkan untuk menyeberangi sempadan bagi mendapatkan rawatan tanpa dilengah-lengahkan, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Kemasukan semua bantuan yang tersekat di Mesir mesti dipermudahkan serta rawatan perlu diberikan segera kepada orang awam Gaza.
“Kami berharap kesulitan yang membebankan mangsa-mangsa yang cedera harus dihilangkan. Kami menyeru kerajaan Mesir untuk bekerjasama rapat dengan agensi antarabangsa ke arah menamatkan sekatan ke atas Gaza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi, Mesir harus memainkan peranan penting dalam menamatkan kepungan di Gaza dan Israel tidak boleh dibenarkan untuk meneruskan sekatan ke atasnya.
Ini kerana, hukuman kolektif oleh Israel dalam pengepungan, menjadikan Gaza sebagai penjara terbuka terbesar di dunia.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, MAPIM menyokong keputusan kerajaan Mesir yang memihak kepada kes Afrika Selatan terhadap Israel atas dakwaan jenayah pembunuhan beramai-ramai.
Ujarnya, ia tidak pernah berlaku dan penting untuk menjauhkan diri daripada Israel yang merupakan sebuah negara penjenayah.
Tambahnya, tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh Israel adalah terlalu berat untuk diabaikan oleh Mesir dan negara itu sangat tahu bahawa jiran mereka iaitu Gaza kini berada dalam operasi penghapusan oleh regim Israel.
“Mesir adalah tonggak kedudukan Israel di rantau Timur Tengah. Hakikat bahawa hubungan diplomatik Mesir selama empat dekad dengan Israel kini boleh tergugat adalah tamparan yang mengejutkan rejim apartheid Israel.
“Masanya sudah tiba untuk Mesir meneliti semula hubungan diplomatiknya dengan Israel, memandangkan malapetaka besar ke atas manusia di Gaza dan dikelilingi oleh tentera Israel.
“Korban manusia dan kemusnahan di Gaza telah mengalihkan pandangan dunia terhadap Israel dan AS. Sokongan menyeluruh terhadap pencalonan Palestin sebagai ahli penuh PBB memacu tamparan hebat kepada kedudukan Israel di mata antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette