KUANTAN – Pahang menyasar menjadi pasukan lima terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang akan berlansung di Sarawak dengan meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran tersebut berdasarkan komitmen diberikan kerajaan negeri.
“Atas dasar itu, kita melaksanakan beberapa inisiatif penting terutama dalam soal kebajikan kepada atlet bagi membela jurulatih dan pegawai.
“Antara inisiatif itu ialah elaun atlet yang bermula pada Januari tahun ini dan Kerajaan Pahang bersetuju kadar elaun latihan atlet SUKMA Pahang dinaikkan sehingga 150 peratus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada Sukma 2022, Pahang menduduki tempat kesembilan dengan meraih 22 pingat emas, 21 perak dan 27 gangsa.
Menurutnya, kadar terbaharu elaun atlet dinaikkan antara RM250 hingga RM500 sebulan berbanding RM100 sebulan sebelum ini.
Tambah beliau, inisiatif terutama gaji jurulatih sepenuh masa dinaikkan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan berdasarkan kelayakan ditetapkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara.
Selain itu, katanya, penyelaras turut menerima elaun sekurang-kurangnya RM200 sebulan bermula Januari lalu. – MalaysiaGazette