Gambar hiasan

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan di Kampung Kemubu, Dabong, Kuala Krai, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan itu dilakukan susulan aduan yang diterima pada 11 Mei lepas mengenai gangguan gajah liar di kawasan terbabit.

Beliau berkata, enam anggota dari pejabat Perhilitan daerah Kuala Krai dan Unit Tangkapan Gajah Kelantan telah menjalankan pemantauan di lokasi aduan.

“Operasi pemindahan dan pelepasan semula gajah liar berkenaan ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Operasi pemindahan itu akan melibatkan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata, tangkapan itu melegakan penduduk dan mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.

Beliau berkata bagi mengurangkan kes konflik gajah liar, penduduk khususnya pekebun dinasihatkan supaya mengambil langkah mitigasi termasuk memasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun dan sentiasa membersihkan kebun selain membina Sistem Pagar Elektrik Gajah.

“Jabatan ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan ini adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa dan HSK Ulu Temiang yang didiami lebih daripada 20 ekor gajah liar,” katanya.

Menurutnya, orang ramai disaran berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast