Rumah Panjang Tatai Emas di Kapit, Sarawak dibina menggunakan konkrit selain dilengkapi ciri kemodenan terkini.

KAPIT – Sarawak sangat terkenal dengan rumah panjang namun peredaran masa sedikit sebanyak mengubah landskap asli rumah tersebut.

Ia terbukti apabila kebanyakan rumah panjang di sini, kini dibina menggunakan konkrit selain dilengkapi dengan kemudahan elektrik, air serta capaian internet.

Bagaimanapun, tradisi serta perpaduan masyarakat yang rata-ratanya terdiri daripada suku kaum Iban dilihat masih kekal utuh di sebalik kemodenan yang ada.

Penghuni Rumah Panjang Tatai Emas, Ando Anak Rawa, 50, menyifatkan rumah panjang bukan sekadar tempat untuk berteduh malah lebih berperanan meningkatkan semangat perpaduan serta persefahaman dalam kalangan penghuninya.

Ando Anak Rawa.

“Sebagai kaum Iban yang membesar di kawasan rumah panjang saya lihat tradisi serta perpaduan yang diamalkan nenek moyang kami masih dikekalkan sehingga kini meskipun berlaku revolusi kemodenan rumah panjang.

“Apa yang boleh saya kongsi untuk menggambarkan perpaduan itu adalah rumah panjang yang kami diami ini merupakan penempatan semula dan ia baru siap dibina selepas 10 tahun.

“Namun semangat kerjasama dalam menjayakan sesuatu majlis bagi 25 keluarga di sini masih sama seperti mana saya kecil dahulu meskipun saya merupakan generasi kelima yang mendiami rumah panjang ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Bonny David.

Bagi Bonny David, 35, pula, suasana rumah panjang bukan saja meriah apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Gawai atau Krismas malah konsep makan secara bersama setiap hari turut menjadi faktor semangat perpaduan di sini.

“Kalau hari-hari biasa bahagian hadapan seperti beranda yang kami gelar ‘ruai’ menjadi port untuk yang lain melepak sekali gus mampu mengeratkan perpaduan dalam institusi keluarga dan masyarakat di sini.

“Selain itu, persekitaran rumah panjang tersusun dan terancang juga memudahkan kerajaan negeri menyalur serta melaksanakan projek pembangunan untuk manfaat rakyat,” katanya yang merupakan penjawat awam.

Boney Anak Welson Belaja.

Sementara itu, bagi Boney Anak Welson Belaja, 35, pula, kemodenan dan keselesaan infrastruktur tidak boleh dijadikan penghalang bagi nilai perpaduan serta kesepakatan.

“Tidak dinafikan kita harus maju seiring peredaran zaman namun kehidupan bersama masyarakat dalam suasana aman dan harmoni perlu dititik-beratkan agar amalan itu dapat diteruskan generasi akan datang.

Rumah panjang adalah tradisi kaum Iban yang terdiri daripada satu deret berpuluh-puluh rumah kelamin.

Rumah ini mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri dari segi keselamatan dan kebudayaan.

Rumah panjang kini mempunyai kemudahan elektrik, air serta capaian internet.

Seni bina rumah itu juga dikaitkan dengan dengan adat tradisi tempatan suku kaum masing-masing tanpa dipengaruhi masyarakat luar.

Rumah panjang dahulunya dibina menggunakan tiang jenis kayu keras dan tidak mudah reput seperti kayu belian dari Kepulauan Borneo manakala bumbungnya daripada daun rumbia namun kini kebanyakan rumah panjang dibina semula menggunakan konkrit demi keselesaan penduduk. – MalaysiaGazette