BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu platform siaran audio mendakwa, separuh mangsa yang dibunuh tenteranya adalah pejuang Hamas.
Kenyataan Netanyahu itu secara langsung cuba menafikan statistik jumlah korban orang awam yang diberikan oleh pihak berkuasa di wilayah Palestin.
Menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 35,091 orang terbunuh di wilayah itu selama lebih tujuh bulan perang oleh Israel.
Netanyahu dalam temu bual ‘podcast Call Me Back’ semalam, mendakwa jumlah kematian di Gaza sebenarnya adalah kira-kira 30,000 orang dengan pejuang Hamas menyumbang hampir separuh daripada jumlah itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah kematian orang awam.
Bagaimanapun, perkara itu tidak diterima Netanyahu, malah dia menegaskan kepada pengendali pod, Dan Senor, bahawa Israel ‘mampu mengekalkan nisbah orang awam kepada pejuang yang terbunuh… (kepada) kira-kira satu kepada satu’.
“Seramai 14,000 terbunuh, pejuang dan mungkin sekitar 16,000 orang awam turut terbunuh,” katanya.
Dia memberikan angka yang sama pada Mac lalu sewaktu diwawancara Politico, yang mana pada tempoh itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban sekurang-kurangnya 31,045 orang.
Netanyahu ketika itu mendakwa jumlah terbabit termasuk 13,000 pejuang dan bilangan orang awam adalah jauh rendah daripada 20,000 mangsa.
Kenyataan terbaru pemimpin Zionis itu dibuat sewaktu tekanan lebih kuat daripada pembekal utama bekalan ketenteraan Israel, Amerika Syarikat (AS), berhubung jumlah korban Palestin akibat perang.
Washington menghentikan penghantaran 3,500 bom dan Presiden AS, Joe Biden, memberi amaran akan turut menghentikan bekalan peluru meriam dan senjata lain jika Israel melakukan pencerobohan berskala penuh ke atas Rafah, yang mana lebih sejuta orang berlindung. – AFP