KUALA LUMPUR – Polis belum menerima laporan berkaitan dakwaan seorang individu cedera akibat terkena benang yang melintang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) selepas susur keluar Taman Kosas menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya terkesan satu paparan berkaitan insiden itu yang tular di laman sosial semalam.
“Polis mendapati paparan itu menunjukkan seorang individu yang menyatakan bahawa dagunya terkoyak akibat terkena benang yang melintang di jalan pada jam 6.30 petang, Isnin.
“Bagaimanapun sehingga kini, polis masih belum menerima apa-apa laporan berkaitan dengan insiden terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, pihaknya akan membuat siasatan awal dan mengadakan perjumpaan dengan pengendali SUKE untuk tindakan lanjut.
Mohd Azam meminta mangsa berkenaan membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Selain itu, beliau meminta saksi menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette