KUALA LUMPUR – Beberapa aktivis Solidariti Palestin yang menghadiri sidang media bantahan kehadiran pengeluar senjata terkemuka yang didakwa menjadi pembekal kepada Israel pada 7 Mei lalu dipanggil memberi keterangan kepada polis.
Perkara berkenaan dimaklumkan Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua namun tidak mendedahkan nama aktivis yang telah dipanggil.
Beliau mendakwa, siasatan terhadap para aktivis merupakan satu bentuk gangguan, dan bertentangan dengan prinsip kebebasan berhimpun secara damai.
“Di pentas antarabangsa, Kerajaan Malaysia dipuji kerana berani menyatakan sokongan terhadap gerakan pejuangan Palestin. Jelas, sebarang upaya menyekat protes anti-genosid di dalam negeri adalah bertentangan dengan semangat solidariti bersama Palestin,” katanya menerusi kenyataan.
Tian Chua memaklumkan, aktivis-aktivis tersebut dipanggil polis untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul.
Sidang media bantahan itu diadakan pada Selasa minggu lalu di pintu masuk Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut Tian Chua, antara yang disuarakan ketika sidang media adalah kekecewaan Solidariti Palestin terhadap penganjur NSA-NatSec 2024 kerana mengundang firma seperti Lockheed Martin, BAE dan lain-lain yang membekalkan senjata maut kepada tentera Israel.
“Kekhilafan itu telah merosakkan reputasi kerajaan sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin. Penganjur NSA-NatSec mesti menerima tanggungjawab dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa sejak kebelakangan ini wujud pergerakan diplomatik kuasa asing tertentu yang dilihat ingin melemahkan pendirian pro-Palestin Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian negara yang mengecam kekejaman di Palestin dan semua yang bersangkut paut dengan zionis Israel.
“Sebagai negara berdaulat, Malaysia bebas menentukan dasar luar dan rakan perdagangan kita sendiri. Kami melihat kunjungan baru-baru ini oleh delegasi Perbendaharaan Amerika Syarikat sebagai tindakan tersirat campur tangan dalam hal ehwal domestik kita.
“Ancaman sekatan atas tuduhan pembiayaan “pengganas” mendedahkan satu sikap keangkuhan. Amerika membekalkan senjata dan kewangan sewenang-wenangnya kepada Israel.
“Kerajaan AS tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan terus-menerus membelakangkan nilai-nilai kemanusiaan asas. Malaysia tidak boleh tunduk kepada ugutan Amerika Syarikat. SSP menggesa Kerajaan Anwar Ibrahim berdiri teguh mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air kita,” katanya lagi.-MalaysiaGazette