PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pertimbangan tersendiri untuk melanjutkan kontrak Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi tempoh setahun lagi.
“C4 Center (Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme) berhak untuk menyatakan pandangan dalam pada masa sama sudah pasti ada pertimbangan diberikan PM dalam membuat keputusan,” katanya kata jurucakap kerajaan perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil pada sidang media, hari ini.
Fahmi berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan C4 Center yang mengkritik pelantikan semula Azam.
C4 Center dalam satu knyataan mengulangi kritikan pada 17 Mei 2023 sebagai respon kepada pelantikan semula Azam sebelum ini, iaitu kredibiliti dan kebebasan SPRM kekal dipertikaikan selagi proses pelantikan Ketua Pesuruhjayanya tidak diubah.
Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun lagi, berkuat kuasa Ahad lalu.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kabinet hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Lawrence Wong di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Singapura.
Fahmi berkata ucapan itu disampaikan jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Mesyuarat Kabinet hari ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dalam perutusannya mewakili Jemaah Menteri, mengucapkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri baharu Singapura.
“Sudah pasti perkara ini akan disusuli dengan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan sejawatnya itu,” katanya. – MalaysiaGazette