Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan . Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2024.

SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor akan menyerahkan kertas siasatan mengenai kes bagasi merah jambu yang berisi wang tunai lebih RM500,000 kepada Bukit Aman dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia susulan kegagalan seorang individu yang mendakwa dirinya pemilik wang berkenaan gagal membuktikan sumber kewangan itu.

“Kes itu (bagasi berisi duit) kita telah lengkapkan siasatan itu dan kita akan rujuk ke Bukit Aman dahulu kertas ini.

“Sebabnya individu yang datang tuntut duit itu tidak boleh memberikan satu bukti yang kukuh mengatakan sumber duit itu.

“Jadi kita perlu rujuk kepada Bukit Aman untuk pandangan perundangan daripada pihak Bukit Aman sebelum kita rujuk kertas ini kepada pendakwaraya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap pada Sesi Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

Pada 20 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan menemui sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 yang ditinggalkan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Setakat ini, hanya seorang individu yang tampil mendakwa bagasi berisi wang terbabit miliknya.

Individu itu kemudiannya memberi keterangan lebih sejam selepas lelaki itu hadir di Balai Polis Damansara sekitar jam 5 petang, 30 Mac lalu.

Lelaki yang juga pengarah syarikat kayu balak itu mendakwa tidak sedar bagasi yang mengandungi wang yang diambil dari rumah rakannya di atas pusat beli-belah di Damansara itu, tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, selain lelaki itu, polis telah merakam kenyataan daripada empat individu lain yang berkaitan dengan pengarah syarikat balak itu.

“Selain itu, kita telah mengambil keterangan daripada sembilan individu setakat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

-TAMAT-

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast