KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang berperwatakan wanita menanggung derita lebih dua tahun selepas menjalani rawatan pembedahan implan payudara yang dilakukannya di sebuah klinik di Mount Kiara, di sini, kira-kira dua tahun lalu.
Mangsa mengetahui tentang perkhidmatan klinik tersebut melalui iklan di laman Facebook yang memaparkan lesen untuk melakukan pembedahan itu.
Berikutan representasi dan tawaran yang menarik individu yang berusia 34 tahun itu berasa yakin untuk melakukan pembedahan untuk membesarkan payudara pada 21 Jun 2022.
Namun tidak semuanya berjalan seperti dirancang, individu tersebut mengalami kesakitan selepas itu dan bertemu kembali doktor berkenaan sebelum dinasihatkan menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di hospital.
“Saya menjalani imbasan MRI di Ara Damansara pada 22 November 2022 dan doktor pakar di sana meminta saya segera melakukan semakan pembedahan dan pertukaran implan akibat pembedahan tersebut.
“Saya kemudian merujuk kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum mereka menerusi surat bertarikh 17 Januari 2023 turut mengesahkan doktor warga China yang merawat itu tidak mempunyai lesen Pengamal Perubatan Malaysia yang sah dan tidak berlesen melakukan rawatan pembedah.
“Saya dinasihatkan mengadu kepada cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya sambilmenambah laporan polis dilakukan pada 5 September 2023 pada sidang media anjuran Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini.
Menurut mangsa, dia menyesal masalahnya tidak mendapat keadilan sewajarnya dan mengalami kerugian RM23,400 menerusi pembedahan itu sedangkan dotor terbabit masih menjalankan operasinya.
Menurut individu terbabit, beliau masih menerima kesan daripada pembedahan itu dengan rasa sakit pada payudara yang tidak seimbang dan kini tidak mempunyai peruntukan untuk mengeluarkan semula impan yang rosak itu.
“Saya mahu kerajaan tangkap doktor scam dari China itu dan mendapatkan pampasan setimpal atas impak kesihatan saya dan pada masa yang sama tidak mahu orang lain menjadi mangsa kepada doktor scam seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah membuat laporan polis menuntut maklumbalas siasatan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 30 April lalu, namun tiada maklum balas sehingga hari ini.
Beliau berkata, MHO mencadangkan polis menyiasat ke atas doktor scam itu di Bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan jalan samaran. -MalaysiaGazette