Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa kerajaan untuk memberi perhatian khusus kepada beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor yang sudah uzur dan memerlukan bangunan baharu seiring dengan peredaran zaman.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, lebih menyedihkan terdapat IPD yang masih menggunakan infrastruktur usang yang diwarisi sejak 1970-an.

“Kita mengharapkan dua lagi Ibu Pejabat Polis Daerah yang perlu diberi perhatian iaitu Petaling Jaya dan Kajang.

“Di mana kawasan sekeliling telah pesat membangun, tetapi Ibu Pejabat Polis Daerah ini masih (menggunakan) kemudahan tahun 70-an,” katanya pada sidang media di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Selain itu, Hussein memberitahu Polis Kontinjen Selangor bakal mempunyai tiga IPD baharu iaitu di Klang Utara, Ampang Jaya dan Subang Jaya.

“Di Selangor ini kita telah pun diluluskan untuk pembinaan IPD baharu di Klang Utara dan telahpun bermula tahun lepas dan kita jangka selesai bina pada 2025.

“Sekarang kita menumpang di rumah kedai iaitu kita sewa. IPD Klang Utara termasuk kompleks dan kuaters dalam kawasan berkeluasan 5.5 ekar dan setakat ini telah selesai pembinaan dalam 15 peratus.

“Kita pun telah mendapat kelulusan untuk pembinaan IPD Ampang Jaya dijangka bermula pembinaanya pada tahun ini dan yang terbaru ialah IPD Subang Jaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast