Anak kepada bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib berucap pada Perhimpunan Demi Najib di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak boleh dipertimbangkan selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai dianggap sebagai satu isyarat oleh Noryana Najwa.

Anak perempuan Najib itu berkata, Perdana Menteri memberi isyarat bahawa pembebasan bapanya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

“Kepada pak-cik pak cik, mak-cik mak cik, uncle, aunty dan adik-adik yang sering bertanya ‘Bila daddy, Bossku boleh keluar, Yana?

“PMX sudah pun beri isyarat. Not any time soon. Bukan dalam masa terdekat,” kata Noryana Najwa dalam perkongsian di Instagram.

Media hari ini melaporkan, Perdana Menteri berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib selepas kes 1MDB selesai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hanya akan memberi cadangan tersebut jika diminta oleh Yang di-Pertian Agong.

“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, ‘Tuanku, lalui proses itu’,” katanya ketika wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha pada Selasa.

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast