KUANTAN – Seorang penjual peralatan ikan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM300,000 di Mahkamah Seksyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menyeleweng diesel bersubsidi sebanyak 96,542 liter pada 8 Mac tahun lalu.
Hakim Maimoonah Aid turut memutuskan hukuman penjara selama 12 bulan kepada tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS) sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh Eng Ching Huang, 36, mengaku bersalah atas kesalahan ada kawalan barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu bahan api diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah yang dilakukan olehnya di di Jeti 2, Lorong Industri Tanah Putih Baru, Tanah Putih dekat Kuantan.
Beliau didapati melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(1) Akta yang sama (Akta (22).
Mengikut Subseksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015), di mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM3,000,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sesi pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Syamsul Kahar Ahmad Nadri.
Syamsul Kahar memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal terhadap pesalah dan dalam hujahannya memohon agar mahkamah mengambil maklum ekoran peningkatan kes penyelewangan diesel semakin menjadi-jadi.
”Statistik menunjukkan penggunaan minyak bersubsidi sebanyak 40 peratus dari tahun 2019 sedangkan peningkatan penggunaan kenderaan menggunakan minyak disel hanya hanya 7.0 peratus sahaja.
”Statistik ini menunjukkan wujudnya aktiviti penyeludupan yang serius dalam negara pada ketika ini. Mohon satu divisional notice diambil kira berdasarkan kenyataan tersebut,” katanya.
Ching Huang tidak diwakili peguam kemudian memohon diringankan hukuman dengan alasan berpendapatan hanya RM2,000 sebulan, selain menjaga ibu bapa sakit dan menanggung kos rawatan mereka.
Maimoonah dalam penghakiman menegaskan, kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan kes terbesar direkodkan KPDN Pahang yang membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM266,900.
Tertuduh yang berbaju hitam mengangguk faham keputusan tersebut dan membayar denda tersebut kepada mahkamah. – MalaysiaGazette