KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim pertahankan pendirian bahawa tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak dipertimbangkan selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.
Bercakap dalam wawancara dengan Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar di Doha semalam, Perdana Menteri berkata, beliau akan memberikan cadangan tersebut jika Yang di-Pertuan Agong meminta pandangan berkaitan perkara tersebut.
“Keputusan untuk mengurangkan hukuman adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Sama ada dia diberikan tahanan rumah, pendirian kami pada waktu ini adalah beliau menjalani proses dan biarkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.
“Ini masih dalam proses perbicaraan 1MDB. Saya fikir biar proses itu diteruskan dan jika Yang di-Pertuan Agong minta nasihat, saya akan kata ‘Duli Yang Maha Mulia, biarkan proses diteruskan’ tapi perlembagaan memberikan kuasa kepada Agong untuk membuat keputusan.
“Saya sebagai Perdana Menteri, tidak akan mendahului Yang di-Pertuan Agong,” kata Anwar ketika diminta mengulas isu tahanan rumah terhadap Najib yang turut ditimbulkan oleh anggota Kabinet beliau.
Beliau berkata demikian dalam slot khas ‘In Conversation With the Prime Minister of Malaysia’ yang dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin sebagai moderator.
Tegas Anwar, beliau telah memberikan Najib semua kemudahan yang ada di penjara.
Dengan keselesaan itu, bagaimanapun kata Anwar, penjara tetap penjara.
Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO di Country Heights, Kajang, pada 30 Januari lalu.
Titah adendum berkenaan supaya bekas perdana menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.- MalaysiaGazette