SHAH ALAM – Selangor merupakan negeri paling tinggi yang merekodkan jenayah seksual dengan 4,789 kes di mana 64 peratus dari jumlah itu melibatkan kanak-kanak, sejak tahun lepas.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Siti Kamsiah Hassan berkata, jenayah seksual itu menunjukkan trend peningkatan sejak 2021.
“Selangor adalah negeri tertinggi dari segi jenayah seksual berbanding negeri-negeri lain.
“Bermula 2021, jenayah seksual merekodkan sebanyak 4,351 kes, kemudian meningkat kepada 4,604 kes pada 2022 dan ia terus meningkat kepada 4,789 kes pada 2023,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau berucap pada Sesi Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024 bersama Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan.
Siti Kamsiah berkata, jenayah seksual itu tinggi berpunca daripada faktor populasi penduduk tinggi dan kedudukan Selangor yang mempunyai banyak sempadan dengan negeri-negeri lain.
“Mungkin antara faktornya ialah populasi penduduknya tinggi, sempadan banyak dengan Selangor seperti Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.
“Akses masuk itu menyebabkan kes meningkat, Selangor pula negeri maju, capaian internet mudah, banyak fasiliti lain, ada berlaku jenayah di penjara, ada universiti,” katanya.
Selain itu, Siti Kamsiah berkata, kira-kira 90 peratus kes yang dilaporkan berkaitan jenayah seksual kanak-kanak itu melibatkan pelaku warganegara tempatan.
“Kebanyakan kes jenayah seksual kanak-kanak ini melibatkan warganegara tempatan.
“Sesekali ada kes dalam kalangan warga asing yang sudah bekerja dan duduk di sini seperti kes cabul melibatkan pekerja, cabul dalam LRT, pengangktuan awam dan tempat awam.
“Ada juga kes melibatkan mangsa warganegara asing termasuk pelancong asing,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan statistik Bukit Aman mendapati, Johor juga merupakan negeri kedua yang tertinggi direkodkan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
“Jenayah itu berubah-ubah tapi secara umumnya kalau kita tengok berdasarkan kepadatan penduduk, aktivitinya banyak, ada kilang dan sebagainya.
“Capaian atau aktiviti adanya kontak antara pelaku dengan mangsa, ruang atau peluang untuk jenayah itu berlaku wujud di negeri-negeri yang tinggi aktiviti dan penduduknya,” katanya.
Ditanya tentang modus operandi, beliau berkata, penjenayah mendekati kanak-kanak menggunakan internet khususnya platform media sosial, aplikasi “dating” dan game dalam talian.
“Suspek akan mendekati mangsa melalui medium perkenalan dan menggunakan identiti samaran,” katanya.
Jelasnya, suspek juga melakukan “child grooming” dengan menggunakan ayat-ayat yang boleh menarik dan boleh memperdaya kanak-kanak.
“Dia hanya kenal, chatting sekejap sahaja macam mana Child Grooming itu berlaku mudah tertarik dengan ayat power, ayat-ayat yang mengundang dan menyebabkan kanak-kanak mudah terpedaya.
“Kalau kena dengan ayat dia, kanak-kanak mudah terpedaya dengan ayat manis.
“Keseronokan itu menyebabkan kanak-kanak mudah berlaku jenayah itu, sekarang kita tahu ada alat komunikasi dan internet,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan prasarana dan pengangkutan awam yang lengkap di Selangor memudahkan suspek memperdaya kanak-kanak.
“You kenal, you chatting, you datang rumah, ada Grab, maknanya pergerakan nak pergi ke tempat perjumpaan itu.
“Kalau mangsa tak keluar pun, mangsa boleh share location, sebab itu jenayah itu mudah berlaku.
“Kalau kita tengok trend pada hari ini terutamanya golongan kanak-kanak suka kepada media sosial, dia mencari content, dia suka like, content yang boleh menarik perhatian.
“Kita tengok di mana kanak-kanak ini dia rasa kalau dia dapat pikat seseorang itu, dia menjadi satu kebanggaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memainkan peranan di rumah dan mereka perlu mempunyai kemahiran keibubapaan
“Ibu bapa kena kawalan persekitaran, dia kena tahu risiko anak-anaknya tak boleh lagi pergerakan fizikal sahaja jenayah itu berlaku.
“Ibu bapa kena kawal didik bagi pengetahuan kepada anak-anak dia, anak sendiri kita kena terapkan kawalan kendiri,” katanya.
Ditanya tentang golongan berpendapatan rendah (B40) penyumbang terbesar jenayah seksual, beliau berkata ia muda berlaku kerana tahap pendidikan yang rendah.
“Kebanyakan B40, ekonomi mereka tak stabil, ada yang tak bekerja, dia bermula dengan pendidikan rendah, peluang kerja pun tidak mudah.
“B40 ini bermula dengan faktor keciciran pendidikan, kemudian ekonomi kurang dan kemahiran keibubapaan pun kurang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette